Larangan menipu dalam jual beli selain dosa akan berakibat buruk bagi anda makalah kalau jual beli lakukan dengan jujur dan amanah agar berkah | Hindari uang haram
Kecelakaan besar bagi orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu apabila mereka menerima sukatan (gantang, cupak) daripada orang lain, mereka mengambilnya dengan cukup dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka menguranginya. (Al-Muthaffifin: 1-3)
Huraian
Perbuatan menipu timbangan adalah suatu perbuatan yang sangat dimurkai oleh Allah. Orang yang melakukan perbuatan sedemikian bukan sahaja menipu orang lain tetapi mereka juga menipu dirinya sendiri tanpa ia sedari.
Keuntungan yang mereka perolehi daripada penipuan itu bukan keuntungan yang hakiki, sebaliknya ia adalah kerugian dan bakal berdepan dengan penyesalan yang tidak tertanggung pada hari akhirat nanti.
Timbulnya perbuatan menipu timbangan adalah berpunca kerana mementingkan diri sendiri. Mereka langsung tidak memikirkan kesusahan orang lain yang bersusah payah mengumpul wang untuk membeli sesuatu barang yang menjadi hajat mereka.
Lantaran setelah barang itu mereka peroleh, mereka ditipu pula dan keadaan ini semestinya tidak dapat mereka terima kerana berasa diri mereka dianiayai dan hak mereka dirampas.
Akhirnya perbuatan keji ini akan menimbulkan perbalahan, permusuhan dan perpecahan dalam masyarakat.
Bagi memelihara kesejahteraan hidup masyarakat, maka Islam melarang sama sekali umatnya daripada melakukan sebarang penipuan dalam jual beli.
Kesimpulan
Umat Islam tidak sewajarnya menikmati kesenangan hidup atas dasar menganiayai insan lain.
Amaran Allah sangat keras lantaran perbuatan begitu bukan sahaja kejam, malah meletakkan akal yang dikurniakan Tuhan tidak pada tempatnya.
Apabila perbuatan menipu berlaku ia akan mencetuskan ketidakharmonian dalam masyarakat dan negara.
- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

0 Comments